Alkisah seorang yang selalu menangguh kerja


Alkisah seorang yang selalu menanguh kerja…

“Salam ustaz… ana ada masalah.. ana selalu kerja tak menjadi. Apa yang dirancang tak pernah jadi…,” rungut Maslan.

“Ada contoh tak?” tanya Ustaz Rosli…

“Contohnya, ana cadang nak tukar bumbung rumah, tapi sampai sekarang ada hal saja yang menyebabkan ia tak jalan. Ana cadang nak tukar kerja, keluarga pula ada masalah. Ana cadang nak melancong, ada saja hal di pejabat yang mengganggu… Ana cadang nak kuruskan badan, tapi badan makin bertambah naik… semua tak jadi ustaz… tak tahu mengapa Allah buat begitu,” terang Maslan…

Ustaz Rosli membawa sekeping kertas dan melukis sesuatu untuk Maslan.

Maslan melihat ustaz Rosli melukis lima ekor burung camar yang berdiri di atas kayu…

“Ana nak tanya enta, jika satu daripada burung camar ini mengambil keputusan untuk terbang ke tempat lain, berapa lagi burung camar yang tinggal?” tanya ustaz Rosli.

Maslan melihat dengan pelik – soalan mudah ini pun nak tanya… tapi beliau tetap menjawab… “Er… empat” – seolah-olah merasakan ada udang di sebalik batu soalan tersebut…

“Tidak,” kata ustaz Rosli.

“Masih ada lima. Mengambil keputusan untuk terbang ke tempat lain dan terbang ke tempat lain adalah dua perkara berbeza? Faham maksud ustaz?” sambung ustaz Rosli.

Maslan tersenyum lebar – kerana mendapat jawapan kepada semua masalah yang dirungutnya.

Itulah realitinya – Maslan selama ini hanya bercakap nak berbuat sesuatu, tapi tidak melakukannya.

Berapa ramai yang mengalami masalah seperti Maslan? Seperti beliau, kita juga sama.

Berapa antara kita yang sudah membuat keputusan untuk berkorban, tapi akhirnya tidak dilakukan?
Berapa antara kita yang sudah membuat keputusan untuk bersuara pada sesuatu isu penting, tapi akhirnya tidak dilakukan?
Berapa antara kita yang sudah membuat keputusan untuk memperbanyakkan solat, bersenam, mengawal pemakanan, tapi akhirnya tidak dilakukan?
Berapakah antara kita yang sudah membuat keputusan untuk berubah, tapi akhirnya tidak dilakukan?

Ingatkan, membuat keputusan untuk terbang dengan sudah terbang adalah dua perkara berbeza.

Sudah buat keputusan untuk terbang? Maka terbanglah!

Senyum.

Popular Posts