Bahaya merasa kagum dengan diri sendiri


Taman Orang Orang Soleh:
BAHAYA MERASA KAGUM DENGAN DIRI SENDIRI

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnad-nya; Suatu hari, di depan Rasulullah saw Abu Bakar menceritakan seorang sahabat yang amat rajin ibadatnya. Ketekunannya menakjubkan semua orang. Tapi Rasulullah tak memberikan komen apa-apa. Para sahabat kehairanan. Mereka bertanya-tanya, mengapa Nabi tak menyuruh sahabat yang lain agar mengikuti sahabat ahli ibadat itu.

Tiba-tiba orang yang dibicarakan itu lalu di hadapan majlis Nabi. Ia kemudian duduk di tempat itu tanpa mengucapkan salam. Abu Bakar berkata kepada Nabi, "Itulah orang yang tadi kita bicarakan, ya Rasulallah." Nabi hanya berkata, "Aku lihat ada bekas sentuhan syaitan di wajahnya."

Nabi lalu mendekati orang itu dan bertanya, "Bukankah kalau kamu datang di satu majlis kamu merasa bahawa kamulah orang yang paling soleh di majlis itu?" Sahabat yang ditanya menjawab, "Allahumma, na'am. Ya, memang begitulah aku." Orang itu lalu pergi meninggalkan majlis Nabi.

Setelah itu Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat, "Siapa di antara kalian yang mau membunuh orang itu?" "Aku," jawab Abu Bakar. Abu Bakar lalu pergi tapi tak berapa lama ia kembali lagi, "Ya Rasulullah, bagaimana mungkin aku membunuhnya? Dia sedang ruku'." Nabi tetap bertanya, "Siapa yang mahu membunuh orang itu?" Umar bin Khaththab menjawab, "Aku." Tapi seperti juga Abu Bakar, ia kembali tanpa membunuh orang itu, "Bagaimana mungkin aku bunuh orang yang sedang bersujud dan meratakan dahinya di atas tanah?"

Nabi masih bertanya, "Siapa yang akan membunuh orang itu?" Imam Ali bangkit, "Aku." Beliau lalu keluar dengan membawa pedang dan kembali dengan pedang yang masih bersih, tidak berlumuran darah, "Ia telah pergi, ya Rasulullah." Nabi kemudian bersabda, "Sekiranya engkau bunuh dia. Umatku takkan pecah sepeninggalanku...."

Dari kisah ini pun kita dapat mengambil hikmah: Selama di tengah- tengah kita masih terdapat orang yang merasa dirinya paling soleh, paling berilmu, dan paling benar dalam pendapatnya, pastilah terjadi perpecahan di kalangan kaum muslimin. Rasulullah menyuruh sahabatnya untuk membunuh lelaki tadi adalah kerana melalui perantaraan Jibril, baginda diberitahu bahawa lelaki ini dan keturunannya akan menyebabkan fitnah perpecahan di kalangan umat Islam.

Nabi memberikan pelajaran bagi umatnya bahawa perasaan ujub (merasa kagum dengan kehebatan diri) akan amal soleh yang dimiliki adalah penyebab perpecahan di tengah orang Islam. Ujub menjadi penghalang naiknya manusia ke tingkat yang lebih tinggi. Penawarnya hanya satu, belajarlah menghinakan diri kita.

Sumber : Taman Ulama

SILA SHARE DAN SEBARKAN

(Dipetik daripada facebook Ustaz Iqbal Zain)

📮Join Telegram Taman Orang Soleh
telegram.me/RiyadusShaliheen

Popular Posts