Benarlah maksud firman Allah dalam kalamNya yang mulia Al Quran nul Karim "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa2 yang ada pada diri mereka." Surah Ar-Rad ayat 11
Aku beriman dengan ayat di atas. Maha Suci Allah. Dialah Yang Maha Memiliki Segalanya yang ada di langit dan di bumi.
Benar, kalam Allah itu Maha Benar. Aku jadi terfikir dan berfikir merenung diri. Aku memulakan kembara pencarian diri pada 10 Ogos 2017 (err, sebelum ini mungkin ada banyak kali cuma kurang serius). Dalam tempoh itu, aku berhasrat untuk cuba istiqamah memperbaiki diri dimulai dengan solat sunat tahajjud dan getaran kesyukuran di awal pagi. Untuk tempoh 6 hari, alhamdulillah aku berjaya melawan hawa nafsu tidur untuk bangun di sepertiga malam. Kemudian, aku didatangi rutin bulanan ABC. Waktu ini, aku mula berkira-kira mahu bangun atau tidak di awal pagi, iyela jika tidak boleh solat pun masih boleh berzikir atau muhasabah diri. Itu niat yang terlintas dalam fikiran dan hati.
Tapi hakikat yang terjadi berbeza pula. Telah 2 hari aku gagal untuk melawan nafsu tidur dan tidak berjaya bangun dari tempat pembaringan untuk muhasabah di pagi hari. Aku masih juga lagi dikejutkan Tuhan sekitar jam 3-4 pagi, cuma untuk tempoh 2 hari ini aku yang tidak bangkit melawan nafsu tidur dan terus sahaja meneruskan pembaringanku. Ah! Teruk sekali rasanya. Huhu
Hari ini aku mula tersedar dan berfikir kembali. Benarlah ayat yang telah Allah nyatakan dalam kitabNya. Jika aku sendiri tidak mengubah apa yang ada pada diriku, dalam diriku, maka mana mungkin kehidupanku akan berubah. Jika rutin diri sendiri pun aku masih tidak mampu untuk kuasai, maka bagaimana mungkin aku berjaya menguasai rutin perubahan yang lebih besar. Ah! Benar sekali.
Contohnya dalam tempoh 2 hari ini yang aku tidak bangun di awal pagi. Bukan tidak tersedar, malah dikejutkan seperti biasa antara jam 3-4 pagi, cuma diri sendiri yang tidak mengambil peluang untuk terus bangun. Sebaliknya lebih rela memilih untuk tarik selimut dan tidur semula. Huhu
Sedangkan rutin sebelum ini baru mula hendak menampakkan hasil, bukanlah aku kata bangun awal untuk mendapat hasil tapi itulah permulaan sebuah kejayaan baru. Tapi bila aku tidak meneruskannya, terasa bagaikan perjalanan yang baru hendak bermula itu bagaikan tidak lancar. Ah! bagaimana ya untuk menyatakan. Ok, mungkin analoginya begini aliran elektrik yang mengalir sempurna dan yang tersekat-sekat. Jika diteruskan amalan bangun awal dan muhasabah mencuci diri di pagi hari, segala kekusutan dan arus elektrik bagaikan boleh mengalir sempurna, tiada yang menghalang dan dapatlah cahaya terang diterima. Jika sebaliknya, on off untuk bangun awal dan masih sekejap berjaya sekejap tidak untuk melawan hawa nafsu sendiri, maka aliran bagaikan tidak lancar dan cahaya terang bagaikan sekejap ada sekejap hilang.
Begitulah sebenarnya, saat kita sibuk untuk mengubah orang lain. Sebenarnya perlawanan yang sebenar adalah berlawan untuk mengatasi diri sendiri. Kena mulakan dengan berjaya menguasai diri sendiri dahulu, mengubah diri sendiri dahulu. Jika tidak, maka tiada apa yang akan berubah dan kehidupan itu akan tetap sama sehingga bila-bila. Huhu
Tapi aku tidak mahu seperti itu. Aku mahukan kehidupan yang lebih baik, kewangan yang jauh lebih baik. Aku mahukan kehidupan aku berubah jauh lebih baik daripada sekarang dan sebelum ini. Aku tidak mahu terus-terusan hidup dalam keadaan seperti sebelum ini. Aku mahukan/impikan kehidupan masa akan datang jauh lebih baik dan lebih sempurna daripada keadaan sebelum ini dan sekarang. Jadi, tidak boleh tidak aku mesti punya kekuatan untuk terus berubah, terus mengubah rutin hidupku, terus mengubah sikapku dan diriku. Jika tidak, maka impian itu tidak akan dapat aku kecapi.
Ya, aku mahu mengejar impian yang baru. Impian kehidupan yang lebih baik, yang luar biasa daripada sekarang. Jadi aku harus terus berusaha untuk memperbaiki diri, mencari diri dan mengenali diri. Hingga akhirnya dapat sampai ke tahap kenal Tuhan, hidup dengan rasa berTuhan, hidup dengan diberi panduan oleh Tuhan. Ya, itu misinya. Moga Tuhan permudahkan impian dan misi hati, impian dan misi diri. Amiin Ya Rabbal Alamin.