Perawat Rawatan Islam Kena Ada Benda Ini






Etika Perawat

  • Perawat mestilah sentiasa menjaga sifat taqwanya kepada Allah. Kerana ketaqwaan yang benar-benar teguh menjadi asas utama yang membantu tercapainya tujuan rawatan dilakukan. Sebab itu sepanjang sejarah Islam mereka yang melakukan adalah mereka yang benar-benar bersifat taqwa.
  • Perawat mesti sentiasa dalam keadaan berdhikrullah. Semasa melakukan rawatan tidak boleh lalai hati.
  • Seberapa boleh elakkan dari bercakap yang tidak berfaedah dan yang melalaikan.
  • Jika pesakit dipastikan lemah semangat atau tidak tertahan menanggung kesakitan, hendaklah perawat beri nasihat dan tarbiyahkan dengan kata-kata penuh hikmah dan boleh menguatkan semangat dan keyakinan serta berdaya untuk bersabar terus hingga selesai rawatan dibuat.
  • Jika pesakit yang sedang dirawat meminta bersungguh-sungguh supaya rawatan ditamatkan, maka permintaannya itu mestilah dipenuhi dan rawatan tak boleh diteruskan. Bagaimanapun perawat boleh menasihatkan agar rawatan diteruskan dengan alasan yang jelas dan mudah difahami oleh pesakit.
  • Perawat hendaklah membuktikan kesan rawatan yang dibuat itu kepada pesakit. Banyak cara boleh dibuat. Misalnya dengan melakukan picitan di bahagian tubuh badan tertentu, di bahagian perut atau bawah telinga dan sebagainya lagi. Biasanya pesakit yang sedar bahawa penyakitnya banyak berkurangan, ia bertambah yakin untuk terus berubat walaupun terpaksa menanggung sakit.
  • Perawat mestilah menasihatkan pesakit agar terus menerus beristighfar meminta keampunan kepada Allah.
  • Perawat hendaklah sentiasa menjaga kebersihan tubuh badan dan pakaiannya. Jika pakaian telah dibasahi dengan peluh, hendaklah salin dan pakai baju lain yang bersih.
  • Jika perawat berasa lemah atau tidak bermaya atau mengantuk, mestilah berehat sebentar. Sebaik-baiknya ia mandi dan baharui air sembahyang.
  • Jika perawat rasakan jin atau syaitan yang dalam badan pesakit tidak boleh keluar, maka hendaklah dicari sebabnya.
  • Perawat mesti menjaga aurat pesakit perempuan. Tidak boleh didedahkan jika tidak perlu. Hanya tempat yang diperlukan untuk diketuk sahaja yang boleh dibuka. Perawat mesti terangkan mengenai keharusan merawat pesakit perempuan seperti yang dipetuakan oleh Imam Sayuti dalam kitabnya At-Tibbu An-Nabawiyu.


Langkah-Langkah Rawatan Yang Dilakukan
  • Perawat mestilah duduk dalam keadaan dhikir dan muraqabah ma’iyyah. Allah berfirman: Maksudnya: “…Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan”. (Al-Hadid: 4)Maksudnya:“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan dan ketenteraman kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (At-Tawbah: 40)
  • Pesakit mesti memakai pakaian yang sesuai dan tidak menganggu atau menghalang proses rawatan. Misalnya memakai T-Shirt yang longgar, memakai kain, tidak memakai seluar jean atau baju berlengan panjang yang susah diselak dan sebagainya. Manarah ada menyediakan berbagai jenis pakaian dan kain jika diperlukan oleh pesakit.
  • Pesakit membaringkan diri secara melentang atau duduk melunjurkan kaki. Ini bergantunglah kepada keadaan pesakit dan hasil pemeriksaan dan diagnosis yang telah dilakukan. Ada kalanya pesakit duduk di atas kerusi roda bagi mereka yang lumpuh atau stroke.
  • Perawat memerintahkan pesakit dan anggota keluarga yang hadir bersama dalam rawatan tersebut untuk terus beristighfar. Sekurang-kurangnya menyebut terus menerus استغفرالله .
  • Perawat mestilah terus memberi motivasi kepada pesakit untuk bersabar dan bertawakkal menahan kesakitan kerana pukulan (biasanya perawat mengingatkan pesakit yang merasa sakit sangat adalah syaitan yang berada di dalam tubuh).
  • Untuk memulakan ketukan perawat mesti membaca bacaan di bawah ini berada dalam keadaan muraqabah ma’iyyah seperti yang disebutkan di atas. Selepas itu sebutlah terus nama-nama Allah yang Maha Agung lagi Maha sempurna.
  • Perawat mesti menjaga kaedah ketukan iaitu yang sebaik-baiknya mengangkat ranting nona setinggi 45 darjah, kecuali jika diperlukan maka ketinggiannya boleh ditambah. Yang bererti menambah kekuatan pukulan. Sekiranya pesakit tidak tertahan menanggung kesakitan dan minta supaya diberhentikan buat sementara maka perawat mestilah penuhi kehendak pesakit.
  • Perawat mestilah tetap berpegang kepada hakikat maksud firman Allah: Maksudnya: “…Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir)…” (Al-Anfaal:17) Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”.
  • Perawat mestilah bijaksana dalam menilai keadaan pesakit yang dipukul dan kesan pukulan. Tujuannya ialah supaya dapat ditentukan apakah langkah yang perlu dilakukan seterusnya. Sebagai contoh, ketukan telah dilakukan beberapa lama, tetapi pesakit tetap meraung-raung yang menunjukkan tidak ada sedikit pun kesan positif daripada pukulan tersebut. Maka dalam keadaan ini, pukulan mesti dihentikan, penyiasatan yang rapi terhadap pesakit mesti dilakukan. Ada kemungkinan pesakit ada menyimpan tangkal azimat di dalam keretanya atau di rumah atau sebagainya.
  • Tempoh pukulan biasanya dilakukan selama satu jam atau lebih sedikit daripada satu jam. Kadang-kadang berlaku juga seorang pesakit memerlukan lebih lama daripada masa tersebut.
  • Untuk mengurangkan rasa sakit, maka perawat hendaklah menyapukan sebatian air cuka, garam dan air limau nipis serta air yang telah dibacakan dengan doa yang telah disediakan.
  • Perawat jika didapati perlu selain daripada dhikir dan muraqabah, hendaklah membaca ayat-ayat ruqyah yang telah diajar.

Proses rawatan meliputi beberapa langkah seperti yang berikut:


1) Menyediakan peralatan dan bahan-bahan yang digunakan untuk rawatan. Antaranya ialah seperti berikut:
  • Ranting pokok buah Nona yang panjangnya antara 12 hingga 16 inci yang mempunyai saiz ukurlilit yang berbeza. Ada yang kecil sebesar lidi daun kelapa sawit. Ada yang lebih besar sedikit daripada lidi tersebut, yang paling besarpun lebih kecil daripada pencil kayu biasa. (Sila lihat gambar ranting di halaman sebelah).
  • Biji Lada Hitam yang dipilih. Biasanya biji yang keras dan besar.
  • Garam Halus dan garam kasar. Banyaknya mengikut keperluan
  • Limau Nipis atau limau Purut. Banyaknya juga mengikut keperluan
  • Pasir. Sebaik-baiknya pasir dari sungai atau bekas lombong, kerana ianya memang terjamin bersihnya. Biasanya pasir ini dijemur sehingga kering. Bahan pasir ini diperlukan bila rawatan dibuat untuk pesakit tertentu, misalnya kerana terkena simpulan sihir.
  • Cuka makan yang berbau keras dan mempunyai tahap kemasaman yang tinggi (tahap keasidan yang tinggi).
  • Cuka getah atau formed Asid atau asid hidroklorik, iaitu asid yang digunakan untuk membeku getah.
  • Air Batu (Ais). Banyaknya mengikut keperluan. Kegunaaannya adalah untuk digunakan bagi membilas mandian pesakit.
  • Bawang Besar. Jika diperlukan, misalnya bila tidak ada lagi limau nipis yang diperlukan untuk menekan bahagian tertentu dari tubuh pesakit.
  • Sarung Tangan Getah (Surgical Glove)
  • Air Mineral, air hujan atau apa-apa jua air yang belum dimasak. Kegunaannya adalah untuk dibacakan ayat-ayat al-Quran yang tertentu dan doa.

2) Solat Taubat dan Hajat. Sebaik-baiknya setiap pesakit, perawat melakukan sembahyang taubat untuk diri dan pesakit. Selepas itu sembahyang sunat hajat memohon kepada Allah supaya dipermudahkan semua kerja rawatan dan disegerakan kesembuhan. Bagaimanapun jika perawat menghadapi kesibukan, maka kedua-dua sembahyang taubat dan hajat boleh dilakukan pada waktu lapang bagi perawat semasa di rumah, baik malam atau pun siang.

3) Melakukan Tawasul sebelum Pemeriksaan dan Diagnosis. Pemeriksaan bukan hanya dilakukan kepada pesakit, tetapi jika perlu dilakukan juga kepada orang-orang yang ada hubungan rapat dengan pesakit, seperti usul pesakit (ibubapa, datuk nenek), suami atau isteri dan lain-lainnya.

  • Penulis telah dapat satu kaedah pemeriksaan yang baik dan memuaskan yang di dasarkan pada pandangan Imam Ghazali yang terdapat di dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Menurut Imam Ghazali, walaupun manusia tidak nampak Jin dan Syaitan, namun kita boleh mengetahui adanya Jin dan Syaitan yang telah mempengaruhi mental, fizikal dan spiritual manusia dengan cara menelitikan kesan-kesannya. Menurut Iman Ghazali antara kesan-kesannya bila wujudnya keadaan yang luar biasa, sama ada pada fizikal, mental mahupun spiritualnya. Demikian juga kesan yang luar biasa pada perasaan, percakapan dan sifat-sifat peribadinya. Pemeriksaan yang penulis gunakan juga di dasarkan di atas hakikat bahawa Jin dan Syaitan adalah makhluk yang hidup, berakal, bernafsu dan bertubuh halus seperti angin yang tidak dapat dilihat. Apa bila masuk ke tubuh manusia maka mudah bagi kita untuk mengesannya.
  • Perawat mesti melakukan pemeriksaan fizikal pesakit. Tujuan pemeriksaan fizikal tersebut ialah untuk menentukan dan memahami berbagai masalah mental dan spiritual mereka. Dengan pemeriksaan yang teliti dan tepat, InsyaAllah pesakit dapat di diagnosiskan keadaan fizikal, mental dan spiritualnya.

Cara mengesannya untuk diagnosis adalah seperti berikut:

  • Dengan menelitikan suhu badan pesakit. Menerusi pengalaman dan latihan secukupnya dengan menggunakan tapak tangan di sentuhkan ke mana-mana bahagian tubuh pesakit maka akan kita rasa suhu badan terutamanya panas sejuk tidak sama. Ada bahagian yang sejuk dan ada bahagian yang panas. Ini menunjukan orang tersebut tubuhnya telah diserapi oleh syaitan atau Jin.
  • Dengan memicit bahagian-bahagian tubuh tertentu seperti di bawah kedua-dua telinga kanan dan kiri, bawah dagu, atas bahu, bawah ketiak, di lengan kiri dan kanan, di pangkal peha, di pinggang, di bahagian atas tengah dan bawah perut, di lutut kiri dan kanan dan juga jari-jari kedua kaki.
  • Dengan menjentik anak-anak jari tangan dan kaki.
  • Dengan menyepit jari-jari kaki dengan ranting yang kecil seperti lidi penyapu, satay dan sebagainya.
  • Dengan mencium bau nafas pesakit. Biasanya bau nafasnya busuk atau hanyir dan bau-bau lain yang tidak menyedapkan.
  • Dengan menepuk menggunakan tapak tangan mana-mana bahagian tubuh badan.
  • Dengan mencucuk bahagian tertentu tubuh badan seperti punggung dengan menggunakan bahan yang tumpul.
  • Menjauhkan apa juga unsur tilik menilik.

4) Mengenalpasti semasa pemeriksaan dan diagnosis di bahagian anggota manakah jin atau syaitan berada. Tujuannya ialah supaya ketukan/pukulan akan dilakukan di anggota yang dihuni oleh jin atau syaitan tersebut. Biasanya perawat memerlukan satu kemahiran yang tinggi menerusi latihan yang mengambil masa yang lama. (Sekiranya jin itu berada di kepala, jika diketuk dikepala sangat berkesan dan jin segera keluar. Jika diketuk di kaki, pesakit tersebut akan meraung kesakitan tetapi jin sukar keluar.)

5) Semasa pemeriksaan, perawat mesti lakukan penyiasatan yang terperinci dan menyeluruh samada pesakit telah terlibat dengan perkara-perkara di bawah ini:
  • Adakah ia pernah berubat dengan mana-mana pawang atau bomoh dan hal-hal yang berkaitan?
  • Adakah pesakit pernah terlibat dengan amalan-amalan yang salah dan menyesatkan seperti ilmu kebal, ilmu kuat, pengerun, pemanis, susuk, berbagai seni mempertahankan diri?
  • Adakah datuk neneknya terlibat dengan berbagai ilmu dan amalan yang salah?
  • Adakah ia menyimpan berbagai barang yang dianggap oleh sesetengah masyarakat mempunyai kelebihan atau hikmah seperti kayu kokka, tempurung tak bermata, Quran kecil, buluh tumpat, geliga lipan, batu serai, besi kuning, cebisan kelambu kaabah, kulit kijang putih, kulit kerbau landau, keris, pedang tombak dan sebagainya?
  • Adakah ia pernah membuat berbagai pagar rumah yang dibuat oleh orang tertentu, terutamanya pawang dan bomoh?
  • Apakah hobi dalam hidupnya, misalnya setengah orang hobinya mandi di laut, di kawasan air terjun, tepi sungai dan sebagainya. Setengah orang hobinya mengumpul kayu-kayu, akar-akar kayu, batu-batu, siput kerang dan sebagainya?
  • Adakah ia pernah kemalangan, terjatuh, tergelincir?
  • Adakah ia ada menyimpan barang-barang warisan daripada ibubapa atau datuk nenek yang telah meninggal dunia?

6) Melakukan langkah-langkah rawatan yang sesuai dengan hasil diagnosis yang telah dilakukan ke atas seseorang pesakit. Biasanya langkah-langkah rawatan disesuaikan dengan keperluan seseorang pesakit. Misalnya jika pesakit telah dikenalpasti penyakitnya disebabkan saka, maka langkah-langkah rawatan untuk membuangkan saka hendaklah digunakan. Begitulah juga jika seseorang pesakit telah dikenalpasti penyakitnya disebabkan berbagai amalan salah, maka langkah-langkah hendaklah dibuat yang sesuai dengan pesakit tersebut. Begitulah seterusnya setiap pesakit akan dirawat mengikut apa yang telah didiagnosiskan.

Popular Posts