Kelebihan Istighfar Rajab


Istighfar Rejab, adalah doa istighfar yang menunjukkan betapa maha luarbiasa sifat maghfiroh (keampunan) Allah SWT kepada manusia.

Sebagai manusia, pasti kita tidak lari dari berbuat kesilapan, sengaja mau pun tidak sengaja. Semoga amalan Istighfar Rejab dapat memberi harapan agar terampun jua segala dosa dan ketelanjuran untuk menghadapi hidup sesudah mati nanti. Di suatu hari di suatu masa, mati kan datang jua!

Hadis Rasulullah SAW, sabda Baginda SAW kepada Sayyidina Ali bin Abi Thalib: 

Wahai Ali, tulislah Raja Istigfar ini. Kerana siapa yang membacanya, atau menyimpan tulisannya di dalam rumah atau pada harta bendanya, atau tulisan itu di bawa kemana saja ia pergi, maka Allah memberi kepadanya pahala 80,000 nabi, 80,000 siddiqin, 80,000 malaikat, 80,000 orang mati syahid, 80,000 orang yang beribadah haji dan pahala membangun 80,000 masjid.

Dan barangsiapa yang membacanya sebanyak 4 kali atau 2 kali sepanjang hidupnya, maka diampuni dosanya oleh Allah Ta’ala, walaupun ia ditetapkan akan masuk neraka.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: 

Barangsiapa yang membaca Istigfar Rejab ini, maka akan dibangunkan 80 negeri di syurga, setiap negeri mempunyai 80 mahligai, setiap mahligai mempunyai 80 rumah, setiap rumah mempunyai 80 kamar, setiap kamar ada 80 bantal, dan setiap bantal, 80 bidadari.

Sebuah Kisah Berkaitan Istighfar Rejab

Satu ketika di zaman Nabi Muhammad SAW, terdapat seorang perompak jalanan yang terkenal. Apabila lelaki tersebut meningggal dunia, anak perempuannya tidak menemui sesiapa pun yang mahu membantunya menguruskan jenazah ayahnya.

Allah SWT pun berfirman kepada Rasulullah SAW, “Wahai kekasihKu, ya Muhammad! hari ini seorang dari waliKu telah meninggal dunia. Pergilah dan memandikan jenazahnya, kafankannya, sembahyangkannya serta kebumikannya.”

Dengan serta merta, Rasulullah SAW memanggil Saiyyidina Abu Bakar as-Siddiq dan berkata, “Wahai Abu Bakar, kita perlu pergi dan dapatkan ‘lelaki’ tersebut." Abu Bakar berkata, “Ya Rasulallah, bukankah kamu pernah berkata yang kamu tidak akan mengebumikan lelaki tersebut di tanah perkuburan orang Islam, dia bukan seorang muslim!”

Rasulullah SAW berkata, “Tinggalkan persoalan muslim, Allah SWT telah memberitahuku hari ini bahawa lelaki tersebut adalah seorang waliNya!”

Nabi SAW pun pergi dengan sahabat-sahabatnya, kemudian Baginda sendiri membersihkan jenazah lelaki tersebut, memandikannya, mengkafankannya, menyembahyangkannya, dan seterusnya membawa jenazah untuk dikebumikan.

Setelah semuanya selesai, Saidina Abu Bakar dan Nabi SAW dengan sendirinya pergi bertanyakan apa yang telah dilakukannya arwah tersebut sewaktu hayatnya: “Wahai anakku, sila ceritakan padaku bagaimana sebenarnya kehidupan ayahmu.”

Anak perempuan lelaki tersebut berkata,

''Wahai Rasulullah, aku begitu malu dengan apa yang akan aku ceritakan kepadamu. Ayahku seorang perompak, seorang pembunuh. Aku tidak pernah melihat dia melakukan sebarang kebaikan. Dia akan merompak dan mencuri siang dan malam kecuali satu bulan. Setiap tahun, apabila datang bulan Rejab-bulan Allah, ayahku akan duduk bersendirian dan membaca doa siang dan malam, menangis dan membaca, kecuali keluar untuk makan dan membersihkan diri. Apabila bulan Rejab berakhir, dia akan bangun dan berkata, bulan Allah telah tamat, sekarang untuk menggembirakan aku, aku akan kembali merompak dan mencuri untuk 11 bulan yang akan datang.'

Allah SWT berfirman kepada Nabi SAW, “Wahai Nabi yang Ku cintai, orang itu telah datang dan memohon keampunan dariKu di dalam bulan yang sangat berharga. Oleh sebab itu, kerana dia berkorban sekurang-kurangnya satu bulan dalam setahun untuk Ku, Aku ampunkan semua kesalahannya, dan Aku tukarkan semua dosanya kepada ganjaran. Kerana dia mempunyai terlalu banyak dosa, sekarang dia mempunyai banyak ganjaran, dan dia kini menjadi wali besar.”

Kerana satu amalan doa istighfar di bulan Rejab, Allah SWT telah mengangkat darjat seseorang meskipun tidak pernah beribadat sepanjang hidupnya. Hanya Allah SWT jualah yang lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Subhanallah! Disarankan juga bahawa amalan Istighfar Rejab bukan sahaja diamalkan di bulan Rejab, bahkan sangat baik diamalkan setiap hari.



Dengan nama Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Aku mohon ampun kepada Allah, Maha Agung (3X) yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri. Aku bertaubat padaNya dari segala maksiat dan dosa. Aku bertaubat padaNya dari segala lisan, perbuatan, pendengaran, penglihatan, dan lintasan hati yang dibenci Allah.

Ya Allah, sesungguhnya aku mohon ampun padaMu dari dosa yang telah aku lakukan di masa lalu maupun yang kemudian nanti, yang melewati batas, yang aku sembunyikan dan yang terang-terangan, serta dosa yang Engkau lebih mengetahuinya daripada aku sendiri. Engkau Maha Mendahulukan lagi Maha Mengakhirkan, dan Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. 

Ya Allah, sesungguhnya aku mohon ampun padaMu dari setiap dosa yang aku ulangi setelah aku bertaubat padaMu. Aku mohon ampun atas apa jua amalan yang aku maksudkan untukMu, Yang Maha Mulia, akan tetapi aku telah mencampur amalan tersebut dengan sesuatu yang tidak Engkau redhai. Aku mohon ampun atas janjiku padaMu yang kemudian aku khianati. Aku mohon ampun atas perbuatan yang mengikut hawa nafsu yang aku kira keringanan dariMu, padahal terlarang bagiMu. 

Aku mohon ampun atas nikmat-nikmat yang Engkau berikan padaku tetapi aku manfaatkan untuk kederhakaan. Aku mohon ampun atas segala dosaku yang tidak akan terhapus kecuali dari Engkau dan tidak ada yang mengetahuinya selain Engkau, tidak akan terhapus dosaku kecuali dengan rahmat dan kemurahanMu, dan tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan aku dari dosa kecuali dengan keampunanMu. 

Aku mohon ampun padaMu dari setiap pelanggaran sumpah yang telah aku ikrar terikat dengan sumpah itu di sisiMu. Aku mohon ampun padaMu, wahai Zat yang tiada Tuhan selain Engkau, mahasuci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dari orang-orang yang zalim. Aku mohon ampun padaMu, whai Zat yang tiada Tuhan selain Engkau, Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang nyata, dari setiap kejahatan yang aku perbuat di waktu terangnya siang mahupun gelapnya malam, kejahatan di saat makhlukMu penuh dengan kesibukan maupun diwaktu kelapangan, yang tersembunyi mahupun terang-terangan, dan Engkau melihatku ketika aku melakukannya, Engkau Maha Melihat kesalahan dan kederhakaan yang pernah aku lakukan, sengaja, khilaf, mahupun lupa, wahai Maha Penyantun lagi Maha Mulia!

Aku mohon ampun, wahai Zat yang tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dari orang-orang yang zalim. Wahai Tuhan, ampunilah aku, kasihilah aku dan terimalah taubatku, Engkaulah Maha Penyayang di antara para penyayang. Ya Allah, aku mohon ampun padaMu untuk setiap kali aku meninggalkan kewajiban yang telah Engkau wajibkan kepadaku mengamalkannya sepanjang malam dan siang, sama ada sengaja, salah, lupa, atau lalai, padahal aku dituntut terhadap kewajiban tersebut. Aku mohon ampun padaMu kerana berulang kali meninggalkan sebahagian atau seluruh sunnah Nabi Muhammad SAW junjungan para Rasul dan penutup para nabi-samada lalai, malas, bodoh, atau lengah, sedikit maupun banyak. 

Dan aku mohon ampun padaMu, wahai Zat yang tiada Tuhan selain Engkau, Tuhan semesta alam. KepunyaanMu segala kerajaan, milikMu segala pujian, dan bagiMu ucapan syukur. Cukuplah Engkau bagi kami, yang menjadi sebaik-baik Pemelihara, Pelindung dan Penolong kami. Tidak ada kemampuan dan kekuatan melainkan dari Allah, Maha Tinggi lagi Maha Agung. 

Semoga Allah melimpahkan shalawat dan kesejahteraan sebanyak-banyaknya kepada junjungan kami, Nabi Muhammad SAW, berserta keluarga dan sahabatnya. Segala puji hanya milik Allah, Tuhan semesta alam.

Popular Posts