Bismillah.
Felinna Nadea & Fynn Jamal. Anda kenal mereka? 😉
Jujur saya katakan buat masa sekarang, dua wanita ini yang amat saya kagumi & yang selalu saya baca tulisan mereka walaupun panjang! Sebab setiap dari kata-kata mereka itu semuanya bermakna, penuh nasihat, penuh kasih sayang. Terasa keikhlasan mereka dalam setiap bait kata.
Saya pernah menulis satu entri di blog, bahawa saya amat mengagumi Kak Fynn; namun tidak saya nyatakan sebabnya, lalu saya berjanji akan menulis satu entri khas tentang alasan saya meminatinya.
Sejak sebelum Kak Fynn bertudung lagi saya sudah tertarik dengannya. Saya dapat rasakan bahawa kak Fynn ini orangnya sangat baik, dan saya selalu yakin dia akan bertudung, sebab saya nampak Dia selalu berbicara tentang Tuhan, saya tahu dia berusaha keras untuk berhijrah sedikit demi sedikit; bak kata Kak Fynn, sehari seinci, asalkan berubah kepada kebaikan dan bukan sebaliknya. Dan Alhamdulillah akhirnya Kak Fynn bertudung dan dalam masa yang sama, dia banyak membantu membuka hati orang lain untuk turut sama mendekati Tuhan, dia selalu membuat orang yang berdosa itu merasa Tuhan akan terus menerima dan tetap cinta.
Dan Kak Fel (dia sebaya dengan saya tapi saya suka gelarkan dia kakak kerana dia jauh lebih berpengalaman & hebat mashaAllah), saya amat tertarik dengannya sejak saya membaca tulisan-tulisannya juga, sejak saya tahu betapa dulu dirinya jauh berbeza dengan dirinya yang sekarang.
Saya suka manusia-manusia yang pernah jatuh tersungkur, pernah tersesat, namun akhirnya dia menemui jalan pulang ke pangkuan Tuhan. Saya tertarik dengan manusia yang suatu masa dahulu dia pernah hidup sangat susah akan tetapi berkat usaha & pergantungannya kepada Tuhan, dia bangkit, bangkit berjaya dan memberi manfaat kepada ramai manusia lain.
Ada orang yang berusaha untuk jadi baik, tapi dia hanya mahu baik untuk dirinya, dia tidak terasa untuk bawa orang lain bersama... Tapi ada orang yang tak pernah lupa mengajak & terus mengajak ke arah cinta Tuhan. Mahu sama-sama merasakan cintaNya, mahu sama-sama masuk syurga.
Allahu Akbar, saya terasa sebak ketika menulis saat ini... Kerana saya teringat betapa pengasihnya Allah, Dia selalu menerima kita, selalu ada untuk kita, selalu memaafkan jika kita pinta...
#elsajidashare