Bismillah.
Waktu solat Asar di masjid tadi, ada orang yang terus bangun selepas tahiyat akhir dan tidak turut sama bersama imam untuk membaca doa. Ada yang memandangnya dengan pandangan pelik dan ada juga yang tidak mengendahkannya.
Mungkin kita pernah mendengar suara-suara yang berkata, bahawa mereka yang tidak berdoa selepas solat itu adalah manusia-manusia yang sombong dengan Tuhannya. Namun tahukah kita, bahawa dua tempat terbaik untuk berdoa ketika solat adalah dalam sujud terakhir dan juga selepas tahiyat akhir SEBELUM memberi salam. Kerana kedua-dua itulah yang dilakukan oleh kekasih kita Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam.
Terus sahaja bersangka baik, mungkin kita lihat seseorang itu tidak berdoa selepas solat, namun boleh jadi dia berdoa ketika dalam solat, malah mungkin doanya lebih khusyuk berbanding kita yang menadah tangan mengaminkan doa tanpa memahami apa yang dibacakan imam.
Hidup ini mudah seandainya kita memilih untuk sentiasa berbaik sangka dengan orang lain. Hati kita ini inshaAllah cukup cepat akan reda dari kekecewaan atau kesedihan akibat perbuatan insan lain jika kita cuba menerima hakikat bahawa setiap manusia itu ada kelemahan masing-masing.
Sentiasalah berbaik sangka dan lapangkanlah dada memaafkan orang lain meski untuk kata maaf yang tidak pernah kita terima. Hati kita berhak tenang, maka hindarilah ia dari buruk sangka atau dendam yang merosakkan.
Wallahua'lam.
#elsajidashare